KLANG, 2 MAC: Usaha menangani risiko banjir di Klang diperkukuh menerusi pelaksanaan 13 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang kini giat dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah itu.
Pegawai Daerah Klang, Amri Ismail berkata daripada jumlah berkenaan, lima projek utama dijangka siap secara berperingkat bermula suku ketiga tahun ini.
"Projek berkenaan melibatkan pembinaan rumah pam di Taman Melawis; kolam takungan banjir dan rumah pam di Taman Mutiara, Bukit Raja; serta kerja menaik taraf benteng pantai di Kampung Sungai Serdang dan Kampung Tok Muda, Kapar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Berbuka Puasa (Ihya’ Ramadan) Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama rakyat dan penyampaian sumbangan Hari Raya di Masjid Nurul Iman, Telok Gadong, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Amri berkata sejumlah RM98 juta diperuntukkan tahun ini bagi kerja penyelenggaraan dan pembersihan di seluruh daerah Klang bagi memastikan tahap kebersihan terus terpelihara.
Menurutnya, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengekalkan mutu kebersihan pada tahap terbaik, khususnya dalam pengurusan sisa pepejal.
Antara langkah dilaksanakan termasuk pemantauan kawasan menerusi aplikasi sistem i-Pocket, penyelesaian aduan dalam tempoh 24 jam serta operasi statik terhadap sampah longgok.
“Menerusi peruntukan ini, pemantauan pengurusan sampah turut diperkasa melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), selain pemantauan berkala di tapak pelupusan menggunakan dron.
“Kita juga akan mewujudkan Jawatankuasa Khas Kebersihan Daerah Klang bagi mengambil tindakan segera demi memastikan Klang terus bersih dan terjaga,” katanya.









