Holier-than-thou

28 Feb 2026, 12:31 AM
Holier-than-thou

Oleh Afrina Aziz

Aku masih ingat lagi momen kami selepas bernikah. Semuanya indah belaka. Ketika itu kami pengantin baru yang masih tersipu-sipu. Hendak bersentuhan pun malu-malu. Memang kami tidak pernah bercinta pun sebelum ini kerana ketika bapa menyuruh aku menerima pinangan keluarganya, aku akur sahaja. Lagipun dia anak kepada imam kampung sebelah.

Sayang sekali kebahagiaan itu hanya sementara. Selepas setahun, entah mengapa dia enggan lagi menyentuh aku. Layanannya terhadap aku juga semakin dingin. Kadang-kala aku berfikir juga di mana kekuranganku dalam melayaninya sebagai suami. Bermacam-macam tips and tricks yang aku pelajari untuk mendalami ilmu rumah tangga. Daripada mencari tahu melalui internet sehingga mendapatkan nasihat wanita-wanita separuh usia yang sudah mangli dengan asam garam rumah tangga. Aku sudah cuba kesemuanya, namun hampa.

Pada suatu hari, perbuatan suamiku terbongkar. Suami yang aku taati itu meninggalkan telefonnya yang masih menyala di atas ranjang kami. Pada waktu itu, semacam ada suara yang memaksa aku menggeledah isi perantinya. Perkara pertama yang aku buka merupakan perbualan di aplikasi berwarna kuning yang menurutku aneh dan mencurigakan. Sejurus aku membuka perbualan paling atas, aku melempar telefonnya jauh-jauh. Air mataku mengalir deras. Sungguh aku tidak menyangka, rupa-rupanya suamiku bermain kayu tiga.

Malam itu aku menangis tersedu-sedu sehingga nafasku hampir kehabisan. Selain jijik dan geli dengan perlakuannya, aku juga mula faham mengapa dia enggan menunaikan kewajipannya sebagai suami. Bagaimana aku begitu yakin bahawa dia yang terbaik setahun yang lalu? Sanggupkah aku melewati hari-hari seterusnya?

Sejak kekejiannya terdedah, aku mula mengalami insomnia. Aku sukar tidur malam. Dia di sisiku lena diulit mimpi. Malam-malamku diisi dengan kesunyian dan dengungan kipas siling yang berputar tanpa henti. Dalam keletihan itu, muncul mimpi-mimpi yang terlalu jelas untuk dianggap sekadar mainan tidur. Aku melihat seorang wanita berpakaian serba putih dengan perhiasan di rambut, berdiri di lorong marmar yang dingin, air mukanya tenang tetapi matanya kosong.

Aku teka namanya Sabina, dan entah mengapa, aku begitu yakin dengan nama itu. Setiap kali aku terjaga, kepalaku mesti sarat dengan sesuatu yang semacam kenangan, tetapi kenangan yang bukan milikku. Seperti istana yang sunyi, jamuan yang hambar, seorang suami yang hanya memperlihatkan batang tubuhnya, tetapi tidak pernah memberikan kasihnya. Aku juga dapat melihat dia hidup sebagai isteri kepada seorang lelaki berkuasa. Namun suaminya itu pula mencintai Antinous, sehingga walaupun Antinous telah mati, bayangnya masih memenuhi ruang yang sepatutnya menjadi milik sang isteri.

Aku tidak pernah bersemuka dengan Sabina, malah siapa Sabina pun aku tidak tahu. Namun kehibaannya turut menyerap ke dalam tubuhku seperti ingatan yang sengaja ingin diwariskan. Aku memahami bagaimana rasanya menjadi isteri yang sah, tetapi diabaikan secara zahir dan batin. Perkahwinan yang dibina hanya sebuah pentas, dan aku, seperti Sabina, hanya hadir sebagai watak sampingan dalam kisah cinta yang bukan milik kami.

Aku termenung panjang. Tiba-tiba.

“Woi! Bangunlah!” Suara Gonori, suamiku memecahkan kesunyian.

“Sa… Sabina.” Aku terjerit nama Sabina kerana terperanjat.

“Matahari sudah tinggi pun kau masih atas katil. Kemudian sebut yang bukan-bukan. Makanan aku siapa nak masak?” Gonori marah-marah seperti biasa. Kemudian dia masuk ke bilik air. Aku pun berjalan menuju ke dapur untuk menyediakan sarapan untuk suami tercinta.

Perasaan ingin tahu tentang Sabina membuatkan aku menaip carian di Google tentang individu yang bernama Sabina.

“Vibia Sabina. Isteri kepada Hadrian yang merupakan Maharaja Rom. Hadrian dikatakan menjalinkan hubungan bersama Antinous…” Aku membaca perkara-perkara yang terpampang di skrin telefon. Kasihan Sabina. Maknanya Sabina memang wujud. Entah kenapa pula aku bermimpi tentang dia. Semua yang aku baca di Google, sama seperti perkara yang aku lihat dalam mimpi. Pelik juga.

Usai membaca tentangnya dan menyediakan sarapan, aku mengutip pakaian Gonori yang bergelimpangan di atas lantai. Dia memang selalu begitu. Tetapi seorang isteri mesti telan sahaja kelaku-kelaku suami yang menjengkelkan dan dianggap remeh itu. Dalam aku mengutip semua pakaian, aku teraba sesuatu di dalam poket seluarnya. Aku keluarkan kertas yang dilipat-lipatnya dengan kecil dan membuka lipatan dengan perlahan untuk mengetahui isi dalam surat itu.

***

Aku menunggunya di ruang tengah. Bau kopi dari dapur bercampur dengan debar di dada. Dia keluar bilik dengan wajah tegang, masih bersisa marah seperti tadi. Aku memandangnya lama dan dia perasan perkara itu.

“Ada apa pula?” soalnya pendek, tanpa menoleh.

Aku hulurkan surat itu. Jari aku sedikit menggigil.

Dia memandang sepintas lalu. Aku boleh nampak rahangnya mengeras. “Kau tak ada hak pun nak selongkar barang aku!”

“Saya terjumpa waktu nak masukkan pakaian dalam mesin basuh.” Suasana sunyi seketika.

“Lebih baik kita bercerai. Saya sudah tak tahan.”

“Cerai? Kau nak jadi isteri yang melakukan kemungkaran? Minta cerai itu berdosa di sisi agama! Kau tak mahu cium bau syurga agaknya?” Gonori menceramahi aku.

“Kalau begitu kata awak,” aku bersuara perlahan, “saya nak tahu juga, yang mana satu lebih mungkar?”

Dia akhirnya berani memandang aku. “Oh, kau pandai melawan ya? Kau nak cakap soal surat hospital kan? Jangan buat bodoh lah. Ini semua berpunca daripada kau, juga. Aku sorokkan sebab aku tak sanggup tengok kau rasa terhina dengan aku. Tapi rupanya kau memang tak reti bersyukur. Memang betullah kau perempuan liar. Dari awal aku dah boleh baca. Sebab tu mak bapak kau kahwinkan kau cepat sebab nak tutup malu sebelum orang lain tahu.” Dia ketawa mengejek. Wajahnya puas selepas menghina aku. Padahal dulu, keluarganya yang mendesak aku terima lamaran mereka.

Aku hanya tersenyum sinis. Dia mesti ingat aku masih belum tahu apa-apa tentang aktiviti terlarangnya.

“Saya sudah tahu segala-galanya. Aktiviti-aktiviti awak, kebohongan bertahun-tahun dan sekarang, keputusan HIV dari hospital.” Terus wajahnya berubah.

“Saya juga nak bahagia. Seperti mana awak mencari kebahagiaan awak di luar sana.” Sambung aku lagi.

“Kau ni memang isteri derhaka.” Dia memalingkan muka. Mungkin malu apabila semuanya sudah terbongkar.

“Mungkin,” kataku. “Tapi saya tak pernah acah alim depan orang lain.” Aku beredar dari pandangannya dan masuk ke bilik untuk mengemas pakaian seterusnya keluar dari rumah itu.

***

Selepas tiga bulan kami bercerai, wajah Gonori dan 151 lelaki-lelaki lain tular dan terpampang di televisyen. Ditangkap atas aktiviti songsang di sebuah rumah urut dan spa lelaki. Emaknya menangis-nangis telefon aku minta tolong jamin anaknya yang ditahan. Dia juga minta agar aku rahsiakan hal ini daripada semua kenalan dan saudara-mara tentang aktiviti anak lelakinya itu. Hairan juga, bukankah manusia kini lebih bertamadun? Aku teringat kisah Sabina. Sabina mungkin susah untuk lari daripada perkahwinannya, tetapi aku boleh. Aku matikan terus panggilan emaknya. Sudahlah.

Apa reaksi anda?