SHAH ALAM, 4 JAN: Cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyeragamkan pakaian sekolah dilihat mampu menghapuskan jurang perbezaan darjat antara pelajar sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif dan harmoni, kata ibu bapa yang ditemui Media Selangor.
Dr Tamil Selvi Rajoo, 44, berpandangan penyeragaman pakaian sekolah mampu menghapuskan jurang perbezaan antara pelajar daripada pelbagai aliran sekolah, sekali gus mengelakkan perasaan rendah diri dalam kalangan mereka.
Beliau berkata langkah tersebut selaras dengan hasrat KPM untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki akhlak, nilai jati diri dan semangat perpaduan yang kukuh.

“Apabila tiada perbezaan pakaian antara pelajar sekolah harian dan sekolah berasrama penuh (SBP), pelajar tidak akan merasa rendah diri sekali gus mengukuhkan hubungan dan perpaduan sesama mereka,” katanya.
Sementara itu, seorang penjawat awam, Norfazrin Mohd Zam, 30, turut berpandangan sama, menyifatkan langkah itu mampu mengelakkan layanan berbeza dalam kalangan pelajar.
“Bila tak ada ‘double standard’, pelajar boleh berkawan dengan semua tanpa rasa terasing,” katanya.
Ibu bapa yang ditemui Media Selangor turut berpandangan cadangan itu sebagai langkah sangat baik kerana tidak membebankan kewangan ibu bapa khususnya daripada golongan B40.
“Cadangan ini sangat bagus kerana dapat mengurangkan beban kewangan ibu bapa terutama bagi mereka yang mempunyai ramai anak bersekolah,” kata Haryanty Nadia Abu Hassan, 38.

Pandangan itu disokong Ahmad Tarmizi Haris, 47, yang berpandangan penyeragaman pakaian sekolah membolehkan pakaian dikongsi antara adik-beradik, sekali gus menjimatkan perbelanjaan keluarga.
“Selain itu, ia memudahkan urusan anak yang menerima tawaran ke sekolah berasrama kerana mereka boleh terus mendaftar tanpa perlu berbelanja lebih untuk keperluan baharu,” ujarnya.

Ahmad Norani Idris, 52, pula berkata penjimatan daripada perbelanjaan pakaian sekolah boleh digunakan untuk keperluan harian lain yang lebih penting.
“Cadangan ini wajar dipanjangkan, misalnya menggunakan pakaian yang sama dari prasekolah hingga ke sekolah menengah kerana ia lebih mudah dan menjimatkan,” katanya.

Bagi seorang ahli perniagaan, Zulaikha Rohmat, 35, penyelarasan pemakaian pakaian sekolah dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan keluarga, khususnya bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah.
“Bila pakaian diseragamkan, kos belanja keluarga dapat dikurangkan,” katanya.
KPM sebelum ini dilaporkan sedang merancang untuk menyeragamkan pakaian seragam sekolah bermula pada 2027 selepas sesi libat urus dijalankan dengan pelbagai pihak berkepentingan sejak September tahun lepas.
“Pakaian seragam sepatutnya melambangkan kesatuan, bukannya menonjolkan perbezaan,” kata Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad.
Beliau berkata keputusan rasmi mengenai cadangan itu dijangka diumumkan pada Ogos 2026 sebelum pelaksanaannya dibuat secara berperingkat bermula 2027, melibatkan murid tahun satu dan pelajar tingkatan satu.
Sementara itu, bermula tahun ini, para pelajar sekolah tidak lagi wajib memakai tali leher, langkah yang disifatkan KPM sebagai bukti keprihatinan kementerian kepada cabaran ibu bapa dalam persediaan kembali ke sekolah.








