KPM rancang seragamkan pakaian sekolah mulai 2027

2 Jan 2026, 6:34 AM
KPM rancang seragamkan pakaian sekolah mulai 2027

SHAH ALAM, 2 JAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bercadang menyeragamkan pakaian sekolah di seluruh negara bagi mengurangkan perbezaan warna dan kos persekolahan yang ditanggung ibu bapa.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata cadangan itu hasil kajian menyeluruh sejak September lalu yang melibatkan pelbagai pihak serta meneliti semua aspek berkaitan.

Menurutnya, penggunaan pakaian seragam pelbagai warna tidak menyumbang kepada pemupukan perpaduan dalam kalangan murid, sebaliknya berpotensi menanam rasa perbezaan dan persaingan sejak usia awal.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad pada sidang media khas di Kementerian Pendidikan, Putrajaya pada 13 Oktober 2025. Foto BERNAMA

“Pakaian seragam sepatutnya melambangkan kesatuan, bukannya menonjolkan perbezaan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Beliau berkata keputusan rasmi mengenai cadangan itu dijangka diumumkan pada Ogos 2026 sebelum pelaksanaannya dibuat secara berperingkat bermula 2027, melibatkan murid tahun satu dan pelajar tingkatan satu.

Dr Mohd Azam memaklumkan terdapat sekolah yang menetapkan pakaian seragam sehingga melebihi tujuh warna, selain mewajibkan beberapa jenis baju-T bagi aktiviti berbeza serta aksesori tambahan seperti blazer dan vest.

Katanya, amalan itu bukan sahaja menyukarkan murid yang berpindah sekolah di pertengahan tahun, malah menambah beban kewangan ibu bapa.

“Perkara bersifat kosmetik yang tidak memberi kesan langsung kepada pembelajaran wajar dielakkan, terutama jika ia meningkatkan kos persekolahan,” katanya.

Beliau menambah, KPM turut mengambil kira kemampuan kewangan keluarga, khususnya ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah, dalam merangka dasar berkaitan pakaian seragam.

Menurutnya, sebarang keputusan termasuk pemakaian tali leher akan dilaksanakan secara berperingkat dengan persetujuan pihak sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), selain mengambil kira faktor keselesaan murid dalam cuaca panas.