Isu ladang babi: Negeri ambil maklum, laksana sebaiknya titah Sultan Selangor

11 Feb 2026, 8:17 AM
Isu ladang babi: Negeri ambil maklum, laksana sebaiknya titah Sultan Selangor
Isu ladang babi: Negeri ambil maklum, laksana sebaiknya titah Sultan Selangor

SHAH ALAM, 11 FEB: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ambil maklum titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung isu penternakan babi di negeri berkenaan.

“Semalam dah keluar titah, saya dah terima. Kita akan laksanakan sebaik mungkin,” jelas beliau ketika ditemui pemberita selepas majlis serahan permit bazar Ramadan di Pusat Konvensyen MBSA di sini hari ini.

Semalam Baginda menyarankan kerajaan memberi lesen pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam khususnya kaum Cina di negeri itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan setiausaha sulit Baginda, kaedah itu bukan hanya menyelesaikan isu penternakan babi, malah tanah sedia ada boleh dimanfaatkan untuk pembangunan dan penempatan.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin menegaskan Baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor berikutan kebimbangan berlaku pencemaran.

"Sultan Selangor menegaskan isu penternakan babi dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan semua pihak serta menjejaskan keamanan dan keharmonian kaum Cina.

"Oleh itu, semua pihak diseru untuk menghormati titah Baginda dan bersama-sama menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat negeri ini," kata Dato' Mohamad Munir Bani.