Pemuda maut langgar penghadang besi di Lebuhraya LEKAS

28 Feb 2026, 9:21 AM
Pemuda maut langgar penghadang besi di Lebuhraya LEKAS

SHAH ALAM, 28 FEB: Seorang mekanik tempatan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar besi penghadang di Kilometer 11.2 Lebuhraya LEKAS arah Seremban, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun yang dalam perjalanan dari Kajang dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang di sebelah kanan jalan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah termasuk putus kedua-dua belah kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379.

Dalam pada itu, polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat menduga kelajuan atau melakukan aksi berbahaya.

“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda antara RM5,000 hingga RM15,000,” katanya.