Gerhana bulan penuh 3 Mac ini, satu-satunya fenomena pada 2026

28 Feb 2026, 8:04 AM
Gerhana bulan penuh 3 Mac ini, satu-satunya fenomena pada 2026

SHAH ALAM, 28 FEB: Fenomena gerhana bulan penuh dijangka berlaku pada 3 Mac bersamaan malam 14 Ramadan, menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

MYSA memaklumkan gerhana itu merupakan satu-satunya gerhana bulan penuh yang berlaku pada tahun ini, manakala fenomena sama seterusnya hanya dijangka berlaku pada 31 Disember 2028.

“Gerhana bulan berlaku apabila bumi berada di antara matahari dan bulan sehingga bayang-bayang bumi menutupi keseluruhan permukaan bulan, menyebabkan bulan kelihatan kemerahan,” menurut kenyataan agensi itu di Facebook.

Menurut MYSA, gerhana bulan fasa separa bermula pada jam 5.50 petang sebelum memasuki fasa penuh pada 7.04 malam dengan kemuncak gerhana pada 7.33 malam. Fasa penuh berakhir pada 8.02 malam dan kembali ke fasa separa sehingga 9.17 malam.

Tempoh keseluruhan gerhana dianggarkan mengambil masa kira-kira lima jam 39 minit, manakala fasa penuh berlangsung hampir 58 minit.

Fenomena itu boleh disaksikan di Asia Timur, Australia, Lautan Pasifik, Amerika Utara dan Amerika Tengah. Di Asia Tengah serta sebahagian besar Amerika Selatan pula, hanya gerhana bulan separa dapat dilihat.

Bagi Malaysia, MYSA memaklumkan kebanyakan negeri di Semenanjung berkemungkinan sukar melihat gerhana ketika kemuncak kerana bulan terbit dalam keadaan langit senja yang masih terang.

“Bagi Kuala Lumpur, ketinggian bulan dijangka berada sekitar dua darjah dari ufuk timur ketika kemuncak gerhana.

“Sabah dan Sarawak mempunyai peluang lebih tinggi untuk mencerap fenomena ini kerana bulan terbit lebih awal dan berada pada sudut yang lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.

MYSA menjelaskan gerhana bulan boleh dilihat dengan mata kasar bergantung kepada keadaan cuaca, namun penggunaan binokular atau teleskop dapat membantu melihat fenomena berkenaan dengan lebih jelas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.