SHAH ALAM, 28 FEB: Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) bagi sesi 2026 hingga 2028.
Jawatankuasa Pilihan Raya BERSIH 2026 menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya menerima sembilan pencalonan termasuk daripada ABIM, Gerakan Anak Muda Tuntut Hak Rakyat Sabah (GEGAR) dan PACOS Trust.
Selain itu, Teoh Beng Hock Association for Democratic Advancement (TBH-ADA), Civil Right Committee KL-Selangor Assembly Hall (KLSCAH), Rise of Social Efforts (ROSE) dan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN).
“BERSIH ingin memaklumkan bahawa tempoh penamaan calon bagi Pilihan Raya BERSIH 2026 telah ditutup.
“Disebabkan hanya sembilan nama yang dicalonkan dan setiap nama dicalonkan adalah untuk setiap jawatankuasa yang dipertandingkan, maka semua calon menang tanpa bertanding dan akan menjadi ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH bagi sesi 2026 hingga 2028,” katanya.
Jawatankuasa itu turut mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa BERSIH 2026 hingga 2028 dan menghargai sumbangan Ahli-Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2023 hingga 2025.
“Semoga gerakan ini terus subur memperjuangkan agenda demokrasi dan reformasi,” katanya.
Untuk rekod, Muhammad Faisal sebelum ini adalah Pengerusi BERSIH bagi sesi 2023 hingga 2025.
Senarai Jawatankuasa Pemandu BERSIH bagi sesi 2026 hingga 2028:
Pengerusi: Muhammad Faisal Abdul Aziz
Timbalan Pengerusi: Lee See Kiang
Naib Pengerusi (Sabah): Muhammad Fadhil Muhammad Kassim
Naib Pengerusi (Sarawak): Ann Teo Chiang Joo
Naib Pengerusi (Semenanjung): Azmil Mohamad Tayeb
Bendahari: Alexzander Bernard Johnson
Ahli-Ahli Jawatankuasa: Wong Siew Yun, ‘Alyaah Hani Anuar, Siti Hawa Abd Wahid








