SHAH ALAM, 14 APRIL: Operasi pembersihan pascabanjir di Kampung Padang Jawa, di sini giat dijalankan sejak Sabtu bagi membantu penduduk terjejas membersihkan kediaman mereka.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron berkata antara diberi tumpuan adalah kediaman dihuni warga emas atau orang kurang upaya (OKU) yang terbatas untuk melakukan pembersihan sendiri.
“Sejak Sabtu, apabila air mula surut pembersihan dibuat secara berperingkat. Semalam (Ahad) lebih banyak tumpuan diberikan kerana pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup kira-kira 12.30 tengah hari dan mangsa banjir mula pulang ke rumah.
“Pembersihan pascabanjir disambung hari ini dengan 30 sukarelawan yang juga pelajar dan pegawai Universiti Selangor (Unisel). Turut sediakan kira-kira 350 pek makanan dari sarapan sehingga makan malam untuk membantu penduduk yang membersihkan rumah mereka,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_695602" align="alignnone" width="1018"] Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) Danial Al-Rashid Haron ketika melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights pada 4 April 2025. Foto MTOS[/caption]
Menurut Danial, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga memperuntuk sebanyak RM15,000 setakat ini untuk pelbagai bantuan susulan banjir selain memperkemas gerak kerja dan koordinasi ketika bah bagi memastikan pemindahan mangsa dapat diuruskan dengan baik.
“Jika sebelum ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa dan Sekolah Rendah Agama Padang Jawa yang juga berisiko terjejas banjir digunakan sebagai PPS, sekarang kita gunakan SK Seksyen 16 yang tidak terjejas banjir untuk elak pemindahan berulang kali.
“Gerak kerja pemindahan kali ini saya nampak agak lancar dan kita sudah bersedia awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan Padang Jawa ini antara kawasan rendah yang sering berisiko dilanda banjir.
“Kita juga sudah maklumkan ketua kampung dan penduduk, air pasang besar diramal melanda minggu ini, jadi perlu berjaga-jaga hingga pagi Khamis kerana ada risiko banjir berulang jika hujan lebat, jadi kita minta barangan letak sementara di tempat tinggi dulu,” katanya.
Jumaat lalu, beberapa daerah di Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi sekitar Puchong, Shah Alam, Klang dan Hulu Langat.
EXCO Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi berkata insiden itu susulan hujan lebat yang bertembung dengan fenomena air pasang besar selain menasihatkan penduduk terjejas berpindah ke PPS sekiranya diarahkan, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Banjir itu turut mengorbankan dua mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik selain ratusan yang lain berteduh di PPS.