SHAH ALAM, 27 FEB: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) didenda AS$1,250 (RM4,900) oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas lewat menghantar permohonan kelulusan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2.
Keputusan dibuat Jawatankuasa Tatatertib AFC menerusi pengumuman rasmi kelmarin yang mana kesalahan itu membabitkan aksi persahabatan antara Negeri Sembilan dan Timor Leste yang berlangsung 9 November tahun lalu.
Perlawanan itu menjadi medan pemanas badan buat Timor Leste sebelum menghadapi Tajikistan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027.
Dalam aksi berkenaan, Negeri Sembilan yang ketika itu dibimbing Nidzam Jamil menewaskan Timor Leste 2-1 dengan dua gol dijaringkan penyerang negara, Luqman Hakim Shamsudin, lapor Berita Harian.
FAM bukan satu-satunya persatuan bola sepak kebangsaan yang dikenakan tindakan kerana kesalahan lewat menghantar permohonan kelulusan perlawanan antarabangsa Tier 2.
Turut dikenakan denda adalah Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF), Persatuan Bolasepak Uzbekistan (UFA) dan Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA).









