SHAH ALAM, 26 FEB: Suspek yang dipercayai melepaskan tembakan ke arah kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam sudah ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian itu berlaku.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata proses soal siasat terhadap suspek kini sedang dijalankan.
"Kita sudah buat tangkapan tak sampai 24 jam. Sekarang sedang berlaku proses soal siasat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun Saifuddin tidak memperincikan jumlah tangkapan dibuat.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi semalam, dua lelaki bermotosikal menghampiri sebuah Proton X70 yang dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir ketika dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh sebelum melepaskan beberapa das tembakan.
Mohd Nasaruddin dilantik sebagai Komander AKPS Bukit Kayu Hitam pada Januari 2025 dan sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Staf Pasukan Petugas Khas Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).
Polis percaya serangan berkenaan bertujuan menakutkan pasukan penguat kuasa yang aktif menjalankan operasi di kawasan sempadan.







