Kenderaan komander AKPS ditembak: Motif dipercayai untuk takutkan pihak berkuasa

25 Feb 2026, 3:44 AM
Kenderaan komander AKPS ditembak: Motif dipercayai untuk takutkan pihak berkuasa

SHAH ALAM, 25 FEB: Dua suspek yang melepaskan tembakan ke arah kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam,Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, awal pagi tadi, dipercayai bertujuan menakutkan pegawai penguat kuasa.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata kejadian dipercayai berkaitan individu yang tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa, sama ada AKPS atau polis, berikutan beberapa kejayaan rampasan sebelum ini, lapor Berita Harian.

Beliau memberi contoh rampasan daging khinzir bulan lalu serta beberapa rampasan lain yang mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati pihak tertentu.

“Setakat ini, motif kejadian dipercayai untuk menakut-nakutkan pihak berkuasa. Bagaimanapun, insiden ini tidak akan mematahkan semangat semua pegawai penguat kuasa untuk terus menjalankan tugas dan membanteras penyeludupan,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi tadi, kenderaan jenis Proton X70 dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir ditembak dengan dua das tembakan.

Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian jam 5.40 pagi itu yang dipercayai dilakukan dua suspek tidak dikenali yang menaiki motosikal.

Dalam pada itu, Adzli berkata siasatan setakat ini mendapati suspek memakai topi keledar berpenutup penuh dan tidak membuka lampu ketika melepaskan tembakan.

Mengulas lanjut, katanya ketika kejadian Mohd Nasaruddin dalam perjalanan ke masjid yang terletak satu kilometer dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam sebelum tiba-tiba terdengar letupan.

"Beliau cuba mengejar dua suspek yang menaiki motosikal itu, namun gagal," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain mengesahkan kejadian pegawainya diserang dua lelaki dan memaklumkan beliau dalam perjalanan ke sana.

Apa reaksi anda?