Polis buru lelaki mencuri ketika jemaah sedang solat Tarawih

24 Feb 2026, 10:52 AM
Polis buru lelaki mencuri ketika jemaah sedang solat Tarawih

SHAH ALAM, 24 FEB: Seorang lelaki disyaki terlibat dalam kejadian kecurian dan cubaan menceroboh Balai Islam/Surau Batang Kali sedang diburu polis selepas tindakannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) malam semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kecurian kunci pendua serta cubaan menceroboh premis berkenaan.

"Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.25 malam pada 22 Februari lalu. Rakaman CCTV menunjukkan suspek yang tidak dikenali bertindak mengumpil dan menggeledah raga motosikal milik jemaah yang diparkir di luar Balai Islam dengan menggunakan kayu.

"Suspek turut cuba menceroboh masuk ke dalam Balai Islam, namun gagal kerana terdapat jemaah yang sedang menunaikan solat Tarawih," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Menurut Ibrahim, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 447 KK.

"Polis kini giat mengesan dan menahan suspek yang terlibat," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Apa reaksi anda?