SHAH ALAM, 23 FEB: Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan yang berlaku di sebuah kawasan perumahan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya mengesan rakaman video kejadian yang tular di Facebook kira-kira jam 4.30 petang hari ini sebelum menerima dua laporan polis secara berasingan.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada ketidakpuasan hati serta perselisihan faham yang membabitkan dua keluarga.
“Bertindak atas maklumat, tangkapan dijalankan ke atas enam suspek warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 49 tahun,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Shazeli turut menegaskan insiden tersebut tidak membabitkan unsur gengsterisme atau isu perkauman.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang serta diminta tidak menyebarkan spekulasi.
“Polis akan mengambil tindakan berlandaskan pada lunas perundangan terhadap sesiapa yang melakukan tindakan menggugat keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.








