Selangor FC kekal kedua, Kim Pan-gon sasar slot ACL2

23 Feb 2026, 5:36 AM
Selangor FC kekal kedua, Kim Pan-gon sasar slot ACL2

SHAH ALAM, 23 FEB: Selangor FC terus mengukuhkan cengkaman di tangga kedua Liga Super selepas menewaskan Kuching City FC 1-0 malam tadi, sekali gus mengumpul 35 mata.

Bagaimanapun, kedudukan itu masih belum selesa apabila KL City FC hanya dua mata di belakang, manakala Kuching City pula empat mata di hadapan dengan satu perlawanan berbaki, lapor Berita Harian.

Ketua jurulatih, Kim Pan-gon mengingatkan anak buahnya supaya kekal fokus kerana persaingan di penghujung musim semakin sengit, terutama dalam perebutan slot ke pentas Asia.

Menurutnya, peluang beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan menjadi pembakar semangat utama pasukan yang kini masih belum tewas dalam 10 perlawanan di semua pertandingan sejak beliau mengambil alih.

“Kami banyak bercakap tentang impian ke ACL dan itu menjadi pembakar semangat utama pemain. Bukan sahaja barisan kejurulatihan, tetapi semua pemain amat mahu beraksi di pentas Asia.

“Ini sasaran besar untuk kami kerana Selangor mahu menjadi kelab bertaraf antarabangsa dan mampu memberi cabaran di peringkat lebih tinggi.

“Saya lihat motivasi pemain cukup baik dan kami akan terus berjuang hingga minit terakhir musim ini. Masih banyak usaha perlu dilakukan dan kami akan kekal fokus hingga penghujung,” katanya.

Apa reaksi anda?