SHAH ALAM, 22 FEB: Program Platform Selangor (PLATS) Masuk Bazar anjuran Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI diteruskan sepanjang Ramadan ini dengan peruntukan RM60,000.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata sebanyak 20 bazar terpilih akan menerima 300 kupon digital bernilai RM10 setiap satu, yang diagihkan kepada pengunjung untuk meringankan kos perbelanjaan mereka.
“Baucar digital ini akan menggalakkan peniaga dan usahawan menggunakan sistem tanpa tunai, seiring hasrat Selangor menjadi negeri pintar.
"Jadi pengunjung terawal di bazar terpilih berpeluang mendapat duit belanja bernilai RM10. Selain membantu pengunjung, kita juga dapat membantu peniaga menjana pendapatan lebih,” katanya kepada Media Selangor.
Mohd Najwan berkata senarai bazar terpilih akan dimaklumkan dalam masa terdekat. Tahun lalu, program sama dianjurkan di 10 lokasi termasuk Bazar Ramadan Bukit Beruntung dan Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, membabitkan peruntukan sebanyak RM40,000.
Mula diperkenal pada Ramadan 2020, PLATS bertujuan melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor dan setahun kemudian, PLATS 2.0 dilancar bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa.
Pada 2023 MBI turut memperkenal Kempen PLATS Masuk Pasar selama dua bulan di 12 lokasi terpilih seluruh negeri dengan mengedar 20,000 Kupon Digital Rahmah bernilai RM5.
Setakat Oktober 2024, seramai 40,000 peniaga melibatkan semua produk niaga sudah menyertai platform berkenaan dan Kerajaan Negeri menyasarkan capaian mencecah 50,000 peniaga pada tahun 2026.





