SHAH ALAM, 21 FEB: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencuri kabel berhampiran pagar kawasan landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kulai, semalam.
KTMB dalam kenyataan memaklumkan, pasukan polis bantuan (PB) KTMB menjalankan rondaan dan pemeriksaan di kilometer 728 hingga KM 728.25 susulan laporan gangguan teknikal di jajaran Kempas Baru–Kulai pada jam 8.50 malam.
Menurut kenyataan itu, pada jam 11.07 malam, anggota PB mengesan seorang lelaki dipercayai sedang memotong kabel berhampiran pagar landasan.
“Suspek cuba melarikan diri ke arah kawasan berhampiran sebuah stesen minyak, namun berjaya ditahan pada jam 11.47 malam hasil tindakan pantas dua anggota PB.
“Pemeriksaan lanjut menemui beberapa beg berisi peralatan memotong kabel yang dipercayai dibuang ke dalam longkang berhampiran lokasi kejadian,” katanya hari ini.
Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 28 rekod jenayah lampau.
“Suspek kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut.
“Tindakan pantas dan cekap anggota PB berjaya menghalang sebarang gangguan terhadap keselamatan landasan sekali gus memastikan kelancaran operasi tren,” menurut kenyataan itu.
KTMB turut menegaskan bahawa perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.


