SHAH ALAM, 20 FEB: Menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lima tahun bukan tugas mudah. Namun bagi Amir Syazwan Hazlan, cabaran itu permulaan kepada perjalanan hidup yang lebih besar.
Bersama antara 12 pelajar kumpulan pertama Pengajian Tahfiz Masjid Istana Diraja, anak muda berusia 28 tahun itu berjaya membuktikan laluan tahfiz tidak pernah mengehadkan cita-cita.
Sebaliknya, disiplin hafazan dan sokongan akademik yang tersusun menjadi kekuatan untuk melangkah lebih jauh hingga menjejak kaki ke universiti, seterusnya membina kerjaya sebagai jurutera.

Amir Syazwan menyifatkan peluang menuntut di institusi berkenaan sebagai pengalaman yang amat berharga, apatah lagi mereka menetap di kawasan istana sepanjang tempoh pengajian.
“Bukan semua orang dapat peluang seperti ini. Belajar, bebas bersiar-siar di kawasan istana. Sultan Selangor juga mengambil berat perihal pelajarnya. Setiap kali bertemu, Sultan pasti akan berikan nasihat, tanyakan khabar.
“Memang kami tinggal dalam istana tapi bukan selalu jumpa Baginda. Cumanya setiap kali berjumpa, Tuanku akan bertanya khabar. Terubatlah rindu. Kita jumpa pemimpin tinggi, ibarat jumpa ayah kita sendiri,” katanya kepada Media Selangor.
Akademik tidak diketepikan
Meski berteras pengajian al-Quran, akademik tetap diberi perhatian. Untuk membolehkan mereka bersaing dalam aliran sains, subjek matematik tambahan, fizik, kimia dan biologi ditekankan.

Pentadbiran pengajian bawah Pejabat DYMM Sultan Selangor dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor memastikan pelajar mengikuti kelas tambahan subjek berkenaan.
Menurut Amir Syazwan, pengetua Dato' Mohd Rasid Mahful menekankan ilmu fadail, selain mereka menimba ilmu turath dengan guru dan imam di beberapa pondok, termasuk dari Ustaz Yusuf Hawasy.
Tambahnya, imam Masjid Istana Diraja turut mendidik mereka ilmu kitab, hukum-hakam seorang imam, makmum, akhlak serta akidah, sebagai persiapan untuk pelajar tahfiz menjadi imam.
"Sekarang antara kami ada bergelar doktor, guru, imam dan akauntan. Ada juga yang menjawat jawatan tinggi dalam agensi kerajaan.
"Jadi tahfiz Istana Diraja ini melahirkan insan yang miliki ilmu agama serta keperluan semasa,” katanya sambil memaklumkan segala kos pengajian termasuk yuran asrama ditanggung sepenuhnya.
Ukhuwah berpanjangan
Selain kejayaan akademik dan kerjaya, Amir Syazwan mengakui nilai persaudaraan yang terbina sepanjang tempoh pengajian menjadi kenangan paling bermakna, malah kekal erat sehingga kini.

Beliau turut menasihati pelajar yang tersenarai dalam temu duga untuk memasuki tahfiz berkenaan supaya memanfaatkan peluang yang hanya datang sekali itu sebaik mungkin.
“Ingatlah walaupun kita belajar menghafal al-Quran, tidak semestinya kita hanya jadi ustaz. Kita boleh jadi apa yang kita impikan. Jadi berusahalah dan manfaatkan peluang ini sepenuhnya.
“Menariknya, kita tinggal dalam istana. Bukan semua orang dapat rasai kehidupan seperti ini. Sentiasa dapat perhatian Tuanku dan rapat dengan institusi diraja,” katanya.
Dirintis atas ilham Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, seramai 32 alumni dilahirkan dari institusi berkenaan sejak ditubuhkan pada 2011.









