Asnaf disantuni, terima bantuan tunai, makanan sempena Ramadan

19 Feb 2026, 9:43 AM
Asnaf disantuni, terima bantuan tunai, makanan sempena Ramadan
Asnaf disantuni, terima bantuan tunai, makanan sempena Ramadan
Asnaf disantuni, terima bantuan tunai, makanan sempena Ramadan
Asnaf disantuni, terima bantuan tunai, makanan sempena Ramadan

SHAH ALAM, 19 FEB: Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) dengan kerjasama RHB Islamic Bank Berhad menyantuni 23 asnaf di sekitar Hulu Langat sempena ketibaan Ramadan, baru-baru ini.

Zakat Selangor menerusi Facebook memaklumkan, asnaf dalam kalangan fakir dan miskin itu merupakan penduduk sekitar kariah Masjid Taman Cheras Jaya, Hulu Langat, yang menerima sumbangan tunai dan kotak makanan.

“Kehadiran pasukan daripada RHB Islamic Bank Berhad dan Zakat Selangor pada hari tersebut bukan sekadar membawa bantuan fizikal, tetapi turut membawa rasa dihargai dan diingati.

“Walaupun bantuan itu tidak mampu menghapuskan segala kesulitan, ia sekurang-kurangnya menghadirkan sedikit kelegaan dan keceriaan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan,” katanya.

Zakat Selangor turut menzahirkan penghargaan kepada pembayar zakat selain berharap dapat memperluas kerjasama dengan lebih ramai muzakki sekali gus berupaya membantu serta menyantuni lebih ramai asnaf.

“Dalam dunia yang semakin mencabar ini, setiap huluran tangan membawa makna besar. Bukan sekadar meringankan beban, tetapi menghidupkan kembali harapan yang hampir pudar,” katanya.

Sebelum ini, Zakat Selangor dilapor akan mengagihkan bantuan kepada 78,656 ketua keluarga melibatkan jumlah keseluruhan RM35,983,800 bermula 1 Ramadan bersamaan 19 Februari di seluruh negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor Mohd Khaizir Shahari berkata daripada jumlah itu RM13.18 juta akan disalurkan kepada 27,815 ketua keluarga asnaf fakir, RM21.36 juta kepada 44,943 asnaf miskin dan RM1.56 juta kepada 4,898 mualaf.

Dalam pada itu, Zakat Selangor menetapkan kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Selangor tahun ini adalah pada RM8, RM16 dan RM25 seorang, selaras dengan harga semasa beras di pasaran.

Penetapan kadar tersebut dibuat berdasarkan harga semasa beras di pasaran serta timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.