Masjid Jamiul Ehsani Sijangkang ketengah imam muda pimpin solat tarawih

18 Feb 2026, 6:31 AM
Masjid Jamiul Ehsani Sijangkang ketengah imam muda pimpin solat tarawih

KUALA LANGAT, 18 FEB: Masjid Jamek Jamiul Ehsani, Sijangkang memberi peluang kepada imam muda untuk memimpin solat tarawih dan beberapa pengisian ibadah lain sepanjang Ramadan ini.

Timbalan Nazirnya, Suhaizal Mohd Kaini berkata langkah itu bertujuan menyemarakkan penglibatan golongan belia di masjid, selain melahirkan barisan pelapis kepimpinan agama dalam komuniti setempat.

"Lebih 10 calon imam muda telah ditemu duga dan disenarai pendek bagi membantu imam utama, khususnya dalam pelaksanaan solat tarawih, qiyamulail dan solat Subuh sepanjang Ramadan.

"Selain itu, imam muda bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) pemuda masjid turut menggerakkan program 'street' dakwah di bazar Ramadan melalui tazkirah santai, selain membuka kaunter zakat dan zakat fitrah," katanya ketika ditemui Media Selangor.

Timbalan Nazir Masjid Jamiul Ehsani Sijangkang, Suhaizal Mohd Kaini bersama jawatankuasa masjid memberi sumbangan bungkusan kurma kepada penduduk kampung ketika tinjauan persiapan masjid menjelang Ramadan pada 18 Februari 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, masjid memperuntukkan kira-kira RM3,000 sehari bagi penyediaan juadah berbuka puasa untuk sekitar 1,000 jemaah setiap hari, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah RM90,000 sepanjang 30 hari Ramadan hasil sumbangan ahli kariah dan orang ramai.

"Antara pengisian lain termasuk tadarus Al-Quran sesi pagi dan malam membabitkan 200 hingga 300 peserta, tazkirah selepas Subuh dan tarawih, qiyamulail serta sahur pada 10 malam terakhir, selain agihan bubur lambuk setiap hujung minggu.

"Bagi memastikan keselesaan jemaah terutama keluarga yang membawa anak kecil, masjid menyediakan ruang khas ibu dan anak di dewan berasingan supaya ibadah dapat dilaksanakan dengan lebih tertib dan selesa," jelasnya.

Jawatankuasa Masjid Jamiul Ehsani Sijangkang membersihkan kawasan dalam masjid sebagai persiapan menjelang Ramadan pada 18 Februari 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau menambah, masjid itu mampu menampung antara 1,000 hingga 2,000 jemaah pada satu-satu masa dan dijangka menerima kehadiran ribuan jemaah setiap malam sepanjang Ramadan termasuk muslimat dan kanak-kanak.

Dalam perkembangan berkaitan, Suhaizal berkata Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dijadual berkenan berangkat ke masjid berkenaan pada 28 Februari ini bagi menyampaikan sumbangan tunai kepada lebih 600 anak yatim sekitar Kuala Langat.

"Program tersebut merupakan inisiatif Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang memilih masjid ini sebagai lokasi penganjuran tahun ini.

"Program sumbangan ini merupakan julung kali diadakan bersama Raja Muda Selangor dan pemilihan masjid ini adalah satu penghormatan besar," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap keberangkatan baginda dapat menyemarakkan lagi penghayatan Ramadan selain memperkukuh nilai ihsan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat setempat.