SHAH ALAM, 18 FEB: Polis sedang memburu empat lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran Pangsapuri D'Kayangan Setia Ecohill, Semenyih, semalam.
Kejadian kira-kira jam 6.54 pagi itu berjaya digagalkan selepas perbuatan suspek disedari dan ditegur penduduk setempat.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada hari sama.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati keempat-empat suspek yang belum dikenal pasti identitinya itu menggunakan sebuah kenderaan berwarna kelabu.
"Suspek dilihat sedang memotong kabel yang disyaki milik TNB di kawasan berkenaan.
"Bagaimanapun, kumpulan lelaki terbabit bertindak melarikan diri sejurus ditegur oleh penduduk setempat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan laporan diterima, polis kini giat mengesan semua suspek yang terlibat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan khianat dengan memotong kabel.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Nadzul Majdi Abu Seman di talian 017-4661 757 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.


