MBSA aktif Audit Kecemasan, periksa pokok matang di Seksyen 7

17 Feb 2026, 7:40 AM
MBSA aktif Audit Kecemasan, periksa pokok matang di Seksyen 7
MBSA aktif Audit Kecemasan, periksa pokok matang di Seksyen 7

SHAH ALAM, 17 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengaktifkan Audit Kecemasan bagi memeriksa keseluruhan pokok matang di Seksyen 7 di sini susulan insiden pokok tumbang di Persiaran Tun Arshad Ayub, semalam.

Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA memaklumkan tindakan itu dilaksanakan sebagai langkah proaktif bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara, khususnya di lokasi kejadian.

Menurut kenyataan itu, MBSA telah melantik arborist bertauliah untuk menjalankan pemeriksaan teknikal secara terperinci selain mengambil tindakan serta-merta terhadap pokok yang dikenal pasti berisiko.

“Penilaian risiko pokok ini dilaksanakan berdasarkan pemerhatian fizikal meliputi tanda reput atau rekahan batang, keadaan kanopi tidak seimbang, serangan penyakit atau perosak, kecondongan abnormal serta keadaan tanah di pangkal pokok.

“MBSA memandang serius kejadian yang berlaku dan sentiasa mengutamakan keselamatan serta kesejahteraan orang awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, MBSA menjelaskan, kerja penyelenggaraan berkala telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu di Persiaran Tun Arshad Ayub, merangkumi pelbagai kerja termasuk pemangkasan kanopi dan penebangan pokok mati.

Secara keseluruhan, menurut MBSA, puluhan pokok di lokasi tersebut telah dipangkas dan pokok mati ditebang mengikut keperluan teknikal pada awal Februari sebelum kejadian berlaku.

“Sebagai langkah awal bagi pengurusan insiden di lokasi tersebut, MBSA telah melaksanakan kawalan serta-merta melalui penugasan anggota penguatkuasa di laluan Persiaran Tun Arshad Ayub.

“Ini termasuk penutupan sementara jalan bagi memastikan kerja pemantauan, pengalihan pokok tumbang dan pembersihan dapat dilaksanakan secara terancang, selamat dan terkawal,” katanya.

Dalam kejadian jam 12.11 tengah hari semalam, dua pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cedera selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di sebuah pangsapuri di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilapor berkata, kedua-dua wanita tersebut dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Dr Nur Shahidah Ab Aziz, 39, dan Dr Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, berkhidmat sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia di UiTM Shah Alam.