Banjir kilat Kampung Melayu Subang, air cecah 0.5 meter

16 Feb 2026, 2:26 PM
Banjir kilat Kampung Melayu Subang, air cecah 0.5 meter

SHAH ALAM, 16 FEB: Hujan lebat sejak jam 7 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Kampung Melayu Subang dilanda banjir kilat dengan anggaran ketinggian air 0.5 meter.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysias Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata panggilan kecemasan insiden itu diterima kira-kira jam 8.30 malam.

“Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, keadaan air kini semakin menurun berikutan hujan semakin reda. Tiada pemindahan dan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan seluruh Selangor termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya berdepan hujan lebat sehingga jam 9 malam.