Air pasang besar: Paras 5.4 meter diramal di Pelabuhan Klang

16 Feb 2026, 1:36 PM
Air pasang besar: Paras 5.4 meter diramal di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 16 FEB: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang mengeluarkan makluman persediaan menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku dari 18 hingga 22 Februari ini.

Menurut infografik Pusat Operasi Bencana Daerah (DDOC) Klang, paras air laut tertinggi diramalkan mencecah sehingga 5.4 meter pada 20 dan 21 Februari di Stesen Pelabuhan Klang.

Sepanjang tempoh berkenaan, bacaan paras air laut dijangka berada antara 4.6 hingga 5.4 meter, manakala ramalan cuaca menunjukkan tiada hujan pada waktu pagi, petang dan malam.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah dan berhampiran pantai dinasihatkan supaya bersedia serta sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran.

Makluman tersebut adalah berdasarkan data Jabatan Meteorologi Malaysia dan Pusat Hidrografi Nasional.

Penduduk juga boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Bencana (DDOC) Daerah Klang di talian 03-33829292 sekiranya berlaku kecemasan.