SHAH ALAM, 16 FEB: Sebanyak 15 saman dikeluarkan terhadap kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan trafik dalam Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina di sekitar Hulu Selangor.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan di Jalan Kuala Lumpur menghala ke Jalan Ipoh serta Jalan Sungai Choh ke arah Jalan Bukit Beruntung.
Bahagian penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor memaklumkan Op Selamat dipergiat bagi meningkatkan kesedaran dan pematuhan undang-undang sepanjang cuti perayaan.
“Tujuan utama adalah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya menjelang perayaan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, IPD Hulu Selangor turut mengadakan Program Advokasi sempena Op Selamat 25/2026 di Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu dan Jalan Kuala Lumpur menghala ke Lipis.
Selain itu, polis mengedarkan risalah keselamatan jalan raya sebagai langkah pendidikan dan pencegahan bagi mengurangkan kemalangan sepanjang musim perayaan.
Program advokasi tersebut dilaporkan berjalan lancar dengan kerjasama pengguna jalan raya dan masyarakat setempat.



