SHAH ALAM, 16 FEB: Program Pop! Fest: True Love, True Change mengetengahkan pendekatan seni sebagai medium baharu dalam menyampaikan pendidikan seksual komprehensif kepada kanak-kanak dan remaja.
Pengarah Eksekutif Pocket Of Pink, Ain Husniza Saiful Nizam berkata seni dilihat sebagai kaedah penyampaian yang lebih ringan dan mudah diterima, sekali gus membuka ruang perbincangan lebih terbuka mengenai isu seksualiti.

“Seni membantu orang ramai menerima dan lebih terbuka dalam memahami pendidikan seksual komprehensif,” katanya kepada Media Selangor semalam.
Menurutnya, pendekatan itu juga memudahkan sukarelawan menilai tahap kefahaman peserta berkaitan sentuhan selamat, batasan pergaulan serta tanda awal gangguan seksual.

Sementara itu, pengasas Danielle Lin Art Studio, Danielle Lin, 24, turut menyertai festival berkenaan dengan menghasilkan karya lukisan bertemakan perlindungan dan kesedaran.
Beliau berkata konsep dongeng seperti figura malaikat sebagai simbol pelindung digunakan bagi menyampaikan mesej keselamatan diri secara kreatif dan dekat dengan golongan muda.
Penganjuran tahun ini menyaksikan penyertaan kira-kira 1,000 kanak-kanak, dengan Pocket Of Pink menyasarkan jumlah lebih tinggi pada masa akan datang.

Seorang pengunjung, Mazna Ramli, 58, berkata anaknya telah lama mengikuti program anjuran Pocket Of Pink melalui Instagram dan ini merupakan kali pertama beliau hadir memberi sokongan.
“Banyakkan program seperti ini. Ia bukan sahaja baik untuk pendidikan seksual, malah membantu pemantapan rohani dan jasmani kanak-kanak,” katanya.




