Jangan malu ajar anak pendidikan seks

22 Jan 2026, 4:00 AM
Jangan malu ajar anak pendidikan seks

Dalam kebanyakan rumah tangga, sekolah dan komuniti, ada topik yang sering dielakkan. Topik yang membuatkan orang dewasa saling berpandangan, mencari alasan untuk menangguhkan perbualan.

Namun dalam diam, dunia kanak-kanak terus berubah, dan ancaman semakin dekat tanpa menunggu sesiapa bersedia.

Dalam ruang sunyi itulah pendidikan seks seharusnya berdiri sebagai pelindung, tetapi masih disalah tafsir, seolah-olah ia pintu yang membuka kepada keburukan.

Hakikatnya, pengetahuan itu bukan mengajar kanak-kanak menjadi dewasa sebelum waktunya, ia tentang memberi mereka bahasa untuk memahami apa yang berlaku kepada tubuh sendiri, memberi kekuatan untuk berkata 'tidak' serta memberi keberanian untuk melangkah keluar dari bahaya sebelum terlambat.

Pengasas Pocket of Pink, Ain Husniza Saiful Nizam

Pengasas Pocket of Pink, Ain Husniza Saiful Nizam menjelaskan pendidikan seks adalah asas perlindungan, bukan menggalak tingkah laku seksual. Baginya, ia adalah ilmu yang menyelamatkan.

“Pendidikan ini memberi kefahaman asas kepada kanak-kanak untuk mengenal hak tubuh badan mereka, memahami batasan serta berani berkata ‘tidak’ apabila berdepan situasi berisiko,” katanya ketika program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Asas pendidikan ini merangkumi perkara mudah cara berkawan secara sihat, mengenal sentuhan selamat dan tidak selamat serta memahami tidak semua perlakuan boleh diterima walaupun dilakukan oleh individu yang dikenali.

"Apabila kanak-kanak faham bahawa sesuatu perbuatan itu berbahaya dan bukan sekadar permainan, mereka lebih berani untuk menolak dan melindungi diri," katanya.

Namun cabarannya besar. Dalam budaya masyarakat yang sering mengaitkan topik seksualiti dengan rasa malu, ramai ibu bapa lebih memilih untuk berdiam diri.

Keengganan itu menjadikan kes gangguan seksual hanya terbongkar selepas bertahun-tahun trauma tersimpan.

Lebih membimbangkan, ancaman kini tidak lagi mengenal usia.

"Apabila pendidikan seks dianggap sebagai topik yang kekok dan memalukan, kanak-kanak yang menjadi mangsa akan cenderung untuk berdiam diri kerana takut dan malu untuk bersuara.

"Semakin kecil usia kanak-kanak, semakin tinggi tahap kerentanan mereka. Sebab itu pendidikan seksual perlu dimulakan lebih awal sebagai langkah perlindungan," ujarnya.

Ain mengingatkan kesalahan sering diletakkan kepada kanak-kanak, sedangkan pelaku sebenar jarang diberi tumpuan. Ia bukan berpunca daripada ketidakupayaan kanak-kanak menjaga diri, tetapi penyalahgunaan kuasa.

Selain itu, budaya di sekolah yang secara tidak sedar menormalkan gangguan seksual melalui lawak lucah turut memberi kesan mendalam kepada perkembangan murid.

“Kesan budaya ini kini jelas apabila kes salah laku seksual semakin meningkat dalam persekitaran pendidikan,” katanya.

Beliau menolak tanggapan bahawa kanak-kanak tidak mampu memahami pendidikan seksual. Pengalaman Pocket of Pink membuktikan sebaliknya.

“Mereka faham ini bukan perkara kelakar, tetapi perkara serius yang berkait dengan keselamatan diri,” katanya.

Selagi perbincangan ini dielakkan, kanak-kanak tetap akan mencari jawapan tetapi bukan dari tempat yang sepatutnya. Mereka mencari di internet, antara ruang yang penuh kabur dan bahaya.

“Jika pendidikan ini terus dielakkan, kanak-kanak tetap akan mencari maklumat, namun daripada saluran yang salah, sekali gus meningkatkan risiko kekeliruan dan bahaya.”

Pada akhirnya, pendidikan seks bukan sekadar subjek. Ia pagar yang melindungi, suara yang membimbing dan keberanian yang disemai sebelum dunia sempat melukakan mereka.