SHAH ALAM, 14 FEB: Operasi Mega Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di Bukit Beruntung, Rawang pada 12 Februari lalu membawa kepada penahanan 73 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
Dalam operasi bersepadu yang dijalankan di Pangsapuri Sri Semarak itu, seramai 188 warga asing telah diperiksa sebelum tindakan diambil terhadap mereka yang didapati melanggar undang-undang imigresen.
"Antara yang ditahan membabitkan warganegara Pakistan, Myanmar, Bangladesh, Nepal dan India, berusia antara 1 hingga 55 tahun," menurut kenyataan JIM Selangor.
Operasi berkenaan turut mencetuskan situasi tegang apabila seorang lelaki warga Pakistan dilaporkan meraung dan merayu untuk dilepaskan ketika tindakan penguatkuasaan dijalankan.
Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata antara kesalahan utama yang dikenal pasti ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa serta memegang kad yang tidak diiktiraf.
"Operasi penguatkuasaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau memaklumkan operasi itu disertai Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Pengurusan), Redman Safar dan Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan), Mohmad Khusairi Kamarudin.
Turut membantu dalam operasi berkenaan ialah pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Kesemua individu yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Semenyih untuk direman dan menjalani siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.




