Wanita tercampak maut dalam nahas tiga kenderaan di Sungai Buaya

13 Feb 2026, 3:17 AM
Wanita tercampak maut dalam nahas tiga kenderaan di Sungai Buaya

SHAH ALAM: Seorang wanita maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 438.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Sungai Buaya, Hulu Selangor, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.30 pagi.

Menurutnya, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi.

"Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu dua Perodua Myvi dan Honda Jazz yang membabitkan empat mangsa.

"Ada dua mangsa dalam kereta Perodua Myvi pertama iaitu seorang lelaki dan wanita.

"Mangsa wanita yang tercampak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa lelaki tersepit dan mengalami kecederaan parah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, Perodua Myvi kedua dipandu seorang wanita yang turut tersepit dan mengalami kecederaan parah.

Seorang lagi mangsa yang memandu Honda Jazz hanya mengalami kecederaan ringan dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan.

"Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan jam 7.13 pagi. Mereka kemudian diserahkan kepada KKM untuk tindakan lanjut," katanya.