SHAH ALAM, 27 OKT: Bandar Sungai Buaya di Hulu Selangor kini bersedia melangkah ke fasa pembangunan baharu selepas kemelut pampasan tanah Felda Sungai Buaya yang berlarutan lebih tiga dekad akhirnya diselesaikan sepenuhnya bulan lalu.
DAto' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, penyelesaian pampasan bernilai RM74.2 juta oleh Murna Jaya Development (MJD) Berhad pada September lalu menandakan permulaan baharu buat kawasan berkenaan, sekali gus membuka ruang untuk pembangunan yang lebih tersusun dan seimbang.
“Dengan selesainya kemelut ini, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada perancangan pengezonan, penyediaan kemudahan awam dan tapak ibadat agar Bandar Sungai Buaya berkembang seimbang antara kemajuan dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi Facebook.
Amirudin turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk MJD, Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Penyelaras Parlimen Hulu Selangor serta Penyelaras DUN Batang Kali yang bekerja keras memastikan setiap peneroka menerima pampasan sewajarnya.
Katanya, penyelesaian itu bukan sekadar soal bayaran, tetapi juga pengiktirafan terhadap jasa 363 bekas peneroka Felda yang membangunkan tanah tersebut sejak lebih 30 tahun lalu.
“Ada yang menunggu sejak usia muda kini sudah mencecah lebih 80 tahun, malah ada yang telah meninggal dunia. Kini, keadilan yang tertangguh akhirnya ditegakkan. Ini bukan hanya angka dan kejayaan, tetapi maruah, keadilan dan harapan yang kita bela sebaiknya,” katanya.
Pada 19 September lalu, Media Selangor melaporkan seramai 363 bekas peneroka Felda Sungai Buaya termasuk waris, akhirnya menerima baki akhir pampasan sejumlah RM74.2 juta setelah lebih tiga dekad menanti.
Penyelesaian bayaran akhir itu membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM375 juta oleh pemaju MJD Berhad dalam tempoh 1994 hingga 2025 dengan tahun ini sahaja RM110.5 juta dibayar kepada semua peneroka.




