KUALA LUMPUR, 12 FEB: Kira-kira dua juta rakyat telah menebus Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 yang melibatkan dana hampir RM200 juta setakat Selasa, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata jumlah itu menunjukkan penerimaan baik terhadap SARA selain kelancaran sistem tanpa menimbulkan isu rakyat perlu beratur panjang untuk menebus SARA.
“Tahun lepas semasa kita lancar, ada sikit isu (berkenaan dengan) sistem tetapi kali ini begitu lancar. Tiada barisan (panjang) di kedai-kedai dan insya-Allah penambahbaikan yang kita buat telah membantu (kelancaran pelaksanaan SARA).
“Kali ini kita juga memperluas...kita telah membenarkan pembelian barang sejuk beku. Jadi, seperti yang saya beritahu dalam Dewan (Parlimen) dulu, kita akan terus meneliti (aspek) penambahbaikan dan insya-Allah usaha ini akan membantu rakyat di masa depan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jana MyPesara di sini, hari ini.
Lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas dapat memanfaatkan kredit “one-off” RM100 SARA untuk Semua yang sah digunakan bermula 9 Feb, 2026 sehingga 31 Dis, 2026.
Kerajaan juga bersetuju memperluas kategori barang bagi SARA untuk Semua merangkumi makanan sejuk beku selain barangan asas susulan permintaan ramai.





