Industri filem tempatan semakin positif, kutipan cecah RM244 juta pada 2025

12 Feb 2026, 9:07 AM
Industri filem tempatan semakin positif, kutipan cecah RM244 juta pada 2025
Industri filem tempatan semakin positif, kutipan cecah RM244 juta pada 2025
Industri filem tempatan semakin positif, kutipan cecah RM244 juta pada 2025

SHAH ALAM, 12 FEB: Industri perfileman tempatan terus menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan ketara kutipan pecah panggung (box-office) sejak 2023.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata trend peningkatan itu membuktikan kualiti filem tempatan semakin baik selain menerima sambutan menggalakkan daripada penonton.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid di Dewan Rakyat berhubung pencapaian utama filem Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa termasuk kejayaan dalam anugerah global.

Menurutnya, kutipan pecah panggung filem tempatan mencatat peningkatan konsisten dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Pada 2023, kutipan box-office filem tempatan adalah RM108.7 juta. Angka ini meningkat kepada RM125.3 juta pada 2024 dan bagi 2025, kutipan melonjak kepada RM244 juta,” katanya.

Teo menegaskan peningkatan tersebut mencerminkan penerimaan positif masyarakat terhadap karya tempatan.

Selain sambutan domestik, beberapa filem Malaysia turut mencatat kejayaan di pasaran antarabangsa. Antaranya filem Abang Adik yang meraih kutipan USD3.4 juta di luar negara.

Filem animasi Mechamato Movie pula mencatat kutipan luar negara sebanyak RM35.88 juta, manakala Ejen Ali The Movie 2 merekodkan kutipan keseluruhan sekitar RM59.3 juta setakat ini.

Sebuah lagi animasi tempatan, Papa Zola yang masih ditayangkan di pawagam, turut mengutip hampir RM5 juta daripada pasaran luar negara.

“Ini menunjukkan bahawa buatan Malaysia, filem Malaysia dan animasi Malaysia bukan sahaja diterima baik oleh warga tempatan, malah mendapat sambutan di luar negara,” katanya.

Beliau berharap ahli parlimen dan rakyat Malaysia terus menyokong industri perfileman tempatan dengan hadir ke pawagam bagi memperkukuh pertumbuhan sektor kreatif negara.

“Memang kita patut rasa gembira dan bangga dengan pencapaian filem tempatan ini,” ujarnya.