SHAH ALAM, 9 FEB: Pelumba pecut negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, menunjukkan perkembangan positif dalam fasa pemulihan kecederaan apabila kembali menjalani latihan intensif dengan penggunaan gear lebih besar.
Ketua jurulatih kebangsaan, Harnizam Basri berkata, ujian gimnasium menunjukkan kepantasan Shah meningkat 60 peratus berbanding bulan lalu, dengan catatan 10.44 saat bagi 200 meter, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, Shah tidak akan menyertai Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Filipina pada Mac ini kerana tempoh persiapan yang singkat dan risiko kecederaan berulang.
“Kita tidak mahu mengambil risiko. Keputusan ini dibuat bersama dan sasaran awal Shah adalah Piala Dunia Trek di Nilai pada April,” katanya.
Bagi ACC, skuad pecut lelaki negara akan diketuai Datuk Azizulhasni Awang, manakala tempat Shah dalam acara keirin akan diisi pelumba terbaik ketika itu.
Acara pecut berpasukan lelaki mengekalkan trio Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Mohamad Akmal Nazimi Jusena dan Muhammad Ridwan Sahrom, manakala pasukan pecut berpasukan wanita akan menjalani latihan dan pendedahan antarabangsa di Melbourne.
Harnizam berkata, sasaran ACC adalah memburu pingat sebagai penanda aras awal tanpa tekanan berlebihan, dengan fokus utama kekal kepada Sukan Asia.


