SHAH ALAM, 8 FEB: Malaysia tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada pendekatan rawatan dalam menangani penyakit tidak berjangkit (NCD), sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada strategi pencegahan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kos pengurusan NCD yang mencecah RM64.3 bilion setahun merupakan cabaran besar negara dan jauh melebihi peruntukan Bajet Kementerian Kesihatan (KKM) 2025 sebanyak RM46.52 bilion.
Menurutnya, keadaan itu menjadi petunjuk jelas bahawa pendekatan kesihatan perlu beralih daripada konsep sick care kepada pencegahan serta pemerkasaan rakyat melalui reformasi sistem kesihatan.
“Penubuhan Wellness Hub Hulu Langat merupakan manifestasi jelas reformasi ini, selaras usaha merakyatkan kesihatan dan meningkatkan literasi kesihatan rakyat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Hari Terbuka Wellness Hub Hulu Langat di Bandar Seri Putra, di sini, hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, Wellness Hub berperanan sebagai platform strategik menangani isu kritikal seperti bantut dan malnutrisi kanak-kanak melalui perkhidmatan rundingan pemakanan, termasuk memberi pendedahan pemakanan seimbang kepada ibu bapa bermula dari kehamilan hingga seribu hari pertama kehidupan anak.
Selain itu, pendekatan sains tingkah laku turut diterapkan bagi menggalakkan perubahan gaya hidup sihat secara sukarela melalui bimbingan dan pilihan, bukan sekadar arahan.
Menurutnya, fasiliti di Hulu Langat menunjukkan impak positif apabila merekodkan lebih 19,000 klien sepanjang 2025, peningkatan hampir 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Di peringkat nasional, sebanyak 38 Wellness Hub kini beroperasi di seluruh negara, termasuk lima fasiliti baharu di Kuala Selangor, Muar, Sibuti (Miri), Muallim dan Sandakan, selain menyokong agenda penuaan sihat menerusi Pakej Warga Emas di bawah Pelan Strategik KKM 2026–2030.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan peningkatan kes diabetes di Hulu Langat membimbangkan apabila 2,847 kes baharu direkodkan dalam tempoh dua tahun, sekali gus mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh usaha pencegahan dan kesedaran terhadap faktor risiko penyakit NCD.


