SHAH ALAM, 8 FEB: Pentadbir sekolah diberi autonomi untuk membuat keputusan berkaitan isu pakaian murid semasa cuaca panas, tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian telah menyediakan garis panduan jelas yang boleh dirujuk oleh pihak pentadbiran sekolah dari semasa ke semasa bagi menguruskan situasi cuaca panas, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, KPM sentiasa mengingatkan pentadbir sekolah supaya membuat keputusan berasaskan garis panduan sedia ada serta mengambil kira nasihat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tiada isu untuk membuat penyesuaian melibatkan pakaian dan aktiviti murid ketika cuaca panas, selagi ia mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Semarak Sejahtera Warga Emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Nibong Tebal di Sungai Acheh, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kementerian sentiasa mengutamakan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru serta warga sekolah ketika menghadapi cuaca panas atau situasi luar jangka.
Terdahulu, MetMalaysia melaporkan empat daerah di Kedah berada pada tahap berjaga-jaga susulan suhu maksimum harian yang tinggi dan berpotensi memberi kesan terhadap kesihatan awam serta aktiviti harian, khususnya melibatkan golongan berisiko.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan pendedahan kepada cuaca panas melampau, memastikan pengambilan air mencukupi serta sentiasa merujuk maklumat terkini status cuaca panas melalui portal rasmi MetMalaysia.


