SHAH ALAM, 8 FEB: Gandingan Faisal Halim dan Chrigor Moraes dijangka terus menjadi sandaran Selangor FC dalam misi memburu keputusan positif pada aksi pertama suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Kualiti dua tonggak utama itu terbukti berkesan termasuk ketika membantu Selangor mencatat keputusan seri 1-1 menentang BG Pathum United dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), Rabu lalu, sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
Moraes berkata, keserasian yang terjalin bersama Faisal atau Mickey banyak membantu corak permainan pasukan.
“Saya dan Mickey sentiasa melakukan banyak perkara secara bersama. Saya gembira dapat memberikan bola kepadanya dan dia menjaringkan gol,” katanya merujuk kepada jaringan Faisal dalam perlawanan berkenaan, lapor Kosmo.
Bagaimanapun, Selangor FC perlu berwaspada dan tidak memandang ringan kemampuan NSFC yang berpotensi mencipta kejutan.
Berdasarkan rekod empat pertemuan terakhir, NSFC pernah mencatat dua kemenangan ke atas Selangor, termasuk menewaskan The Red Giants 2-1 dalam saingan Liga Super pada Oktober lalu serta kemenangan 3-2 pada aksi suku akhir kedua Piala FA, juga pada Oktober.
Pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon menegaskan kepentingan kekuatan mental dan disiplin pemain bagi mengelak kesilapan yang boleh merugikan pasukan.
“Kekuatan mental membolehkan pasukan mencapai sesuatu. Keinginan adalah perkara paling penting dan kami juga perlu belajar untuk mengelak kesilapan seperti menerima kad merah,” katanya.
Selangor FC ketika ini mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.





