SHAH ALAM, 7 FEB: Program Jom Shopping Perayaan (JSP) merupakan antara inisiatif Kerajaan Selangor bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat sempena musim perayaan.
EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata program itu turut bertujuan memastikan kemeriahan perayaan dapat diraikan semua lapisan masyarakat.
Menurut beliau, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting, peruntukan RM160,000 disalurkan bagi pelaksanaan program berkenaan.
Katanya, peruntukan itu melibatkan pengagihan sebanyak 800 baucar JSP bernilai RM200 setiap satu kepada penerima yang layak.
“Saya gembira melihat senyuman dan keterujaan masyarakat yang hadir di Econsave Banting pagi ini apabila bantuan ini benar-benar memberi makna dan keceriaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting berkata demikian ketika hadir menyempurnakan pengagihan baucar JSP kepada penduduk DUN Banting, pagi ini.
Menurutnya, inisiatif seperti JSP mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk sentiasa dekat dengan rakyat serta menyantuni keperluan mereka.
Katanya, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat terus menjadi keutamaan negeri dalam merangka serta melaksanakan pelbagai program bantuan bersasar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program pengagihan baucar tersebut.






