ad

Lebih 22,000 baucar Jom Shopping Deepavali diagih di seluruh Selangor

7 Okt 2025, 10:43 AM
Lebih 22,000 baucar Jom Shopping Deepavali diagih di seluruh Selangor
Lebih 22,000 baucar Jom Shopping Deepavali diagih di seluruh Selangor
Lebih 22,000 baucar Jom Shopping Deepavali diagih di seluruh Selangor
Lebih 22,000 baucar Jom Shopping Deepavali diagih di seluruh Selangor

SHAH ALAM, 7 OKT: Lebih 22,000 baucar Jom Shopping Perayaan bernilai RM200 sudah diagih di seluruh negeri sempena sambutan Deepavali, kata EXCO pembasmian kemiskinan.

V Papparaidu berkata pihaknya menerima permohonan menggalakkan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa yang merupakan penerima baucar tertinggi dengan lebih 700 baucar.

“Memang ramai wakil rakyat hubungi saya untuk tambahan baucar kerana baucar itu bernilai RM200, berbanding jumlah sebelum ini hanya RM100.

“Saya tidak nafikan program Jom Shopping merupakan program yang ditunggu-tunggu rakyat, tidak kira masyarakat. Cuma saya minta wakil rakyat, kalau baucar tidak cukup, mereka boleh gunakan peruntukan pembangunan,” katanya kepada pemberita.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berucap pada Majlis Kick-Off Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) dan Pendaftaran Terbuka eKasih 2025 di bangunan pentadbiran negeri pada 7 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Kick-Off Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) dan Pendaftaran Terbuka eKasih 2025 di bangunan pentadbiran negeri di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Papparaidu mempelawa orang ramai memeriahkan Sambutan Hari Deepavali peringkat Selangor yang dijadual berlangsung pada 17 Oktober ini di Dataran Klang @ Padang Chetty, Klang.

Menurutnya, majlis yang bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari itu dijangka dihadiri kira-kira 10,000 tetamu daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting itu berkata pelbagai pengisian menarik dirancang, termasuk persembahan kebudayaan tradisional yang melambangkan keunikan perayaan Deepavali.

“Saya mengambil peluang ini untuk menjemput seluruh rakyat Selangor untuk hadir. Kita juga akan menyerahkan Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) kepada penerima terpilih dalam majlis itu nanti,” katanya.