Dana Ramadan RM50 juta perkasa usahawan mikro Selangor

7 Feb 2026, 4:00 AM
Dana Ramadan RM50 juta perkasa usahawan mikro Selangor
Dana Ramadan RM50 juta perkasa usahawan mikro Selangor
Dana Ramadan RM50 juta perkasa usahawan mikro Selangor
Dana Ramadan RM50 juta perkasa usahawan mikro Selangor
Dana Ramadan RM50 juta perkasa usahawan mikro Selangor

SHAH ALAM, 7 FEB: Penyediaan dana pembiayaan khas oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) disambut baik sebagai langkah memperkasa usahawan mikro di seluruh negara, khususnya menjelang musim perayaan utama.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata pengumuman oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong itu memberi kelegaan kepada peniaga kecil yang berdepan cabaran ekonomi semasa.

Menurut beliau, menjelang Ramadan, usahawan Bumiputera di Selangor berpeluang menambah modal perniagaan menerusi Skim Pembiayaan Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) yang disediakan TEKUN Nasional dengan peruntukan keseluruhan RM50 juta.

Katanya, skim itu menawarkan pembiayaan sehingga maksimum RM30,000 bagi setiap pemohon dengan tempoh pembiayaan sehingga 12 bulan serta kadar keuntungan rendah hanya tiga peratus setahun.

“Inisiatif ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh peniaga kecil dalam memperkukuh kelangsungan perniagaan sepanjang musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi bercakap kepada media selepas program Mini Karnival Usahawan MPAJ 2025 di The Campus Ampang, Ampang Jaya pada 4 Disember 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pada masa sama, beliau memaklumkan usahawan berbangsa Cina turut berpeluang menambah modal perniagaan sempena sambutan Tahun Baru Cina melalui Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT).

Program yang ditawarkan oleh SME Corp itu melibatkan peruntukan RM30 juta dan menyediakan pembiayaan sehingga RM30,000 dengan kadar keuntungan serendah tiga peratus setahun.

Pembiayaan berkenaan akan disalurkan menerusi platform Peer-to-Peer (P2P) CapBay yang dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan ketelusan dan tadbir urus yang baik.

Mohd Najwan berkata, meskipun berdepan cabaran ekonomi global yang tidak menentu, inisiatif pembiayaan itu mencerminkan komitmen berterusan KUSKOP agar peniaga kecil tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi.

Tambah beliau, usaha berkenaan bukan sahaja membuka ruang pengembangan perniagaan, malah berupaya meningkatkan pendapatan usahawan menjelang dua perayaan besar yang signifikan kepada landskap ekonomi rakyat.