Arak, rokok seludup bernilai lebih RM1 juta dirampas, dua warga asing ditahan

6 Feb 2026, 7:41 AM
Arak, rokok seludup bernilai lebih RM1 juta dirampas, dua warga asing ditahan

SHAH ALAM, 6 FEB: Polis menahan dua lelaki warga asing serta merampas arak seludup bernilai lebih RM1 juta menerusi Op Kontraban di sekitar Subang Jaya, Selangor, Rabu lalu.

Operasi kira-kira jam 6.30 pagi itu dijalankan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya susulan maklumat risikan berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan arak seludup di lokasi terbabit.

Hasil pemantauan mendapati berlaku aktiviti pemunggahan kotak disyaki mengandungi arak dari sebuah lori bonded ke dalam sebuah premis sebelum serbuan segera dilakukan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata serbuan itu membawa kepada penahanan dua lelaki warga asing berusia antara 25 hingga 35 tahun di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut ke atas premis menemukan pelbagai jenis arak dan rokok tidak bercukai serta dua lori bonded yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengedaran.

“Rampasan merangkumi 17,972 botol dan 2,796 tin arak pelbagai jenama serta 450 karton rokok dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1,009,174,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis turut menyita dua buah kenderaan dianggarkan bernilai RM214,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM1,223,174.

“Siasatan awal mendapati premis berkenaan digunakan sebagai stor simpanan sejak kira-kira lima bulan lalu dengan bekalan arak disasarkan untuk pasaran sekitar Subang Jaya.

“Siasatan juga mendapati suspek mencetak label palsu pihak kastam untuk ditampal pada botol arak sebelum diedarkan bagi mengelirukan pembeli serta mengelak tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Shazeli berkata jumlah rampasan besar itu dipercayai sebagai persediaan bagi memenuhi permintaan pasaran sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963,” katanya.

Beliau berkata kejayaan tangkapan dan rampasan itu mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia, khususnya JKDNKA Selangor, dalam membanteras penyeludupan barangan tidak bercukai yang menjejaskan hasil negara serta keselamatan dan ketenteraman awam.

“Polis Selangor akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras aktiviti jenayah yang merugikan negara,” katanya.