Litar pintas disyaki punca kebakaran rumah di Banting sebabkan kanak-kanak maut

6 Feb 2026, 4:25 AM
Litar pintas disyaki punca kebakaran rumah di Banting sebabkan kanak-kanak maut
Litar pintas disyaki punca kebakaran rumah di Banting sebabkan kanak-kanak maut
Litar pintas disyaki punca kebakaran rumah di Banting sebabkan kanak-kanak maut

SHAH ALAM, 6 FEB: Litar pintas dikenal pasti sebagai punca kebakaran membabitkan tiga rumah sewa di Jalan Nuri, Kampung Seri Cheeding, Banting, Kuala Langat pagi tadi yang mengorbankan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata pemeriksaan awal mendapati kebakaran berlaku akibat litar pintas di salah sebuah rumah terlibat.

“Polis mengesahkan kejadian membabitkan deretan rumah sewa itu berlaku kira-kira jam 2.50 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal oleh pasukan bomba jam 5 pagi sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Hasil pemeriksaan menemui mayat seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anak kepada penyewa rumah berkenaan. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan mangsa ditemukan rentung dalam kejadian itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata seramai 17 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Panglima Garang, Banting dan KLIA dikejarkan ke lokasi bagi operasi pemadaman dan penyelamatan.