SHAH ALAM, 6 FEB: Penggunaan ungkapan seperti “Alhamdulillah” dan “Insya-Allah” oleh bukan Islam dibenarkan selagi ia digunakan dengan niat yang baik serta menghormati makna asalnya.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil menjelaskan, dari sudut bahasa dan adat, ungkapan berkenaan tidak terhad kepada orang Islam semata-mata.
Namun, penentuan hukum penggunaannya perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira niat, maksud serta konteks dalam masyarakat majmuk.
“Dalam kaedah fiqh, ukuran sesuatu lafaz adalah berdasarkan niat dan maknanya, bukan semata-mata pada lafaz itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan penggunaan lafaz tersebut dibenarkan jika disertai niat yang baik dan menghormati makna asal, namun dilarang sekiranya digunakan untuk memperolok, menghina atau menyalahgunakannya.
Pandangan itu, katanya, selari dengan pendapat ulama terkemuka, Yusuf al-Qardawi yang menyatakan bahawa lafaz pujian kepada Allah SWT oleh bukan Islam tidak diharamkan selagi tidak membawa maksud pengakuan akidah Islam atau menghina agama.
“Para ulama Islam secara ijmak bersetuju bahawa penilaian hukum perlu mengambil kira niat, maksud dan konteks masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Azam menggesa umat Islam agar mengamalkan sikap husnuzon serta berinteraksi secara berhikmah dalam menangani isu penggunaan lafaz ketuhanan oleh bukan Islam.
“Nabi Muhammad SAW memahami keadaan bukan Muslim dan mendoakan hidayah kepada mereka, selagi ungkapan yang digunakan tidak menghina atau menyalahi akidah,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan mendidik masyarakat bukan Islam supaya memahami makna sebenar lafaz ketuhanan, sekali gus menjaga kesucian nama Allah SWT serta menyumbang kepada pendekatan dakwah yang beradab dan harmoni.
Semalam, Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mempersoalkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggunakan kalimah sinonim dengan umat Islam pada persidangan Dewan Rakyat.
Siti Zailah (PN-Rantau Panjang) menyifatkan tindakan itu bukan sahaja mengelirukan masyarakat bukan Islam, malah seolah-oleh mempermainkan kesucian Islam.


