RM150 juta SARA tidak dituntut disalur semula kepada golongan memerlukan

5 Feb 2026, 4:46 AM
RM150 juta SARA tidak dituntut disalur semula kepada golongan memerlukan

SHAH ALAM, 5 FEB: Sebanyak RM150 juta baki peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara sekali bayar bagi tahun 2025 yang tidak dibelanjakan atau dituntut sehingga 31 Disember lalu akan disalurkan semula kepada golongan memerlukan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagi SARA sekali bayar tahun lalu, sebanyak 96 peratus atau 21 juta penerima direkodkan berbelanja di pasaran tempatan dengan nilai transaksi melebihi RM2.05 bilion.

Menurutnya, baki empat peratus atau RM150 juta yang tidak dibelanjakan itu akan diagihkan kepada empat kumpulan utama, iaitu penghuni pusat perlindungan mangsa keganasan rumah tangga di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Selain itu, bantuan turut disalurkan kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) dan pelajar berkeperluan khas di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), serta penubuhan bank masakan dapur siswa dengan peruntukan khusus RM15 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Pengagihan semula dana ini bukan sahaja memastikan keterusan pengurusan kewangan awam, malah memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial negara,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah peruntukan program SARA melalui sistem MyKasih yang dibelanjakan sepanjang 2025, nilai transaksi sebenar dalam pasaran tempatan, status baki bantuan yang tidak dibelanjakan sehingga tarikh luput 31 Disember 2025 serta pelan penambahbaikan bagi tahun 2026.

Pada masa sama, Amir Hamzah berkata, tumpuan kepada kumpulan rentan seperti mangsa keganasan rumah tangga, OKU dan pesakit miskin mencerminkan keutamaan kerajaan terhadap prinsip keadilan sosial dan kemanusiaan.

Katanya, langkah itu juga membuktikan keupayaan kerajaan mengurus dana awam secara fleksibel dan responsif terhadap keperluan semasa, di samping mengamalkan pendekatan lebih bersasar dan inklusif dalam menangani isu kebajikan sosial.

Dalam pada itu, beliau berkata semakan kelayakan boleh dibuat mulai hari ini menerusi portal rasmi https://SARA.gov.my�, manakala permohonan SARA akan diproses dalam tempoh dua minggu selepas dokumen lengkap diterima.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata Kementerian Kewangan (MOF) sedang mempertimbangkan untuk membenarkan makanan sejuk beku sebagai kategori baharu yang boleh ditebus menggunakan SARA.

“Kategori barangan yang boleh ditebus telah ditambah kepada 14 pada 2025 berbanding 10 pada 2024. Bagi barangan basah pula, kerajaan masih menjalankan kajian lanjut bagi memastikan aspek kualiti, keselamatan makanan dan jaminan kepada pengguna terpelihara sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” katanya.