Bayi tiga bulan tidak sedarkan diri, polis buka kertas siasatan

5 Feb 2026, 12:57 AM
Bayi tiga bulan tidak sedarkan diri, polis buka kertas siasatan

SHAH ALAM, 5 FEB: Polis membuka kertas siasatan berhubung kes pengabaian kanak-kanak membabitkan bayi perempuan berusia tiga bulan yang dilaporkan tidak sedarkan diri selepas berada di rumah pengasuh di Puncak Alam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Azaharudin Tajudin berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 11.12 malam, 29 Januari lalu.

Menurut beliau, laporan dibuat oleh seorang wanita yang memaklumkan anak perempuannya berada dalam keadaan tidak normal ketika berada di rumah pengasuh di sebuah pangsapuri di Alam Perdana, Puncak Alam.

Beliau berkata bayi berkenaan dilaporkan tersedu, lembik dan menunjukkan keadaan yang membimbangkan ketika berada di bawah jagaan pengasuh terbabit.

“Bayi itu kemudian dibawa pulang ke rumah pengadu dan didapati tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan media, lapor Harian Metro.

Susulan keadaan tersebut, mangsa dibawa ke sebuah klinik bagi mendapatkan rawatan awal.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk rawatan lanjut.

Azaharudin berkata, susulan laporan yang diterima, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.