KUALA LUMPUR, 4 FEB: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) hanya akan berkuat kuasa selepas Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bertukar notis bertulis berdasarkan Artikel 7.2 ART.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pertukaran notis bertulis itu adalah untuk mengesahkan bahawa semua proses ratifikasi dalaman masing-masing telah selesai dan kedua-dua negara bersedia menguatkuasakan ART.
“Setelah proses pertukaran notifikasi tersebut selesai, ART akan berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari atau pada tarikh lain yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai kenyataan bahawa ART dengan AS tidak boleh diundur tetapi kerajaan akan meneliti dan merunding semula klausa tertentu yang dirasakan tidak adil.
Pada 20 Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ART yang dimeterai pada 26 Okt 2025 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 masih belum dikuatkuasakan berikutan kerajaan masih dalam peringkat perundingan dan mahukan jaminan bertulis yang jelas.
Menurut MITI, dalam hal ini, kerajaan sedang menjalankan penilaian menyeluruh terhadap klausa di bawah ART.
Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan pelaksanaan komitmen yang telah dipersetujui adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta dasar-dasar pembangunan negara.
Selain itu, pelaksanaan berkenaan juga tertakluk kepada perundangan domestik sedia ada, termasuk akta dan peraturan berkaitan, serta komitmen Malaysia di pelbagai forum antarabangsa, termasuk perjanjian perdagangan bebas.


