SHAH ALAM, 4 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan menandatangani sebarang perjanjian antarabangsa yang boleh menjejaskan kepentingan nasional atau bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, setiap perjanjian yang dibincangkan kerajaan akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan ia tidak memberi kesan negatif terhadap dasar domestik, termasuk hal ehwal ekonomi dan hak bumiputera.
“Kalau baca keseluruhannya, 5.1 dan kemudian 7.4 yang penting iaitu klausa penguatkuasaan. Nothing in this agreement shall constrain, or otherwise prevent a party from imposing international tariffs… to protect its economic or national security. Ini binding clause (klausa pengikat) bagi kita,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, klausa penguatkuasaan tersebut memberi ruang kepada Malaysia untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk mengenakan tarif atau langkah kawalan perdagangan bagi melindungi kepentingan ekonomi dan keselamatan negara sekiranya berlaku amalan perdagangan tidak adil atau lonjakan import.
Katanya, peruntukan seperti itu penting bagi memastikan setiap komitmen antarabangsa yang disertai Malaysia tidak mengatasi undang-undang domestik, terutama dalam hal melibatkan kedaulatan ekonomi dan dasar sosial negara.
“Prinsip ini menjamin bahawa sebarang perjanjian tetap tertakluk kepada undang-undang tempatan dan tidak boleh membelakangkan dasar sedia ada yang melindungi kepentingan rakyat,” jelasnya.
Anwar turut menegaskan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) memainkan peranan penting dalam proses semakan dan rundingan bagi memastikan semua kandungan perjanjian selaras dengan semangat perlembagaan serta dasar kerajaan.
Tambahnya, Jemaah Menteri meneliti setiap perjanjian secara berulang kali dan mengambil kira pandangan AGC sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Peguam Negara memberikan ulasan terperinci terhadap setiap klausa. Jika terdapat peruntukan yang tidak selaras, ia akan disemak dan disesuaikan semula sebelum dibawa ke peringkat kelulusan akhir,” katanya.
Menurutnya lagi, proses semakan itu mencerminkan pendekatan kerajaan yang berhati-hati, telus dan berasaskan undang-undang dalam semua rundingan antarabangsa yang dijalankan.
Tegasnya, langkah itu penting bagi memastikan Malaysia tidak menandatangani sebarang perjanjian yang bercanggah dengan perlembagaan atau menjejaskan kedaulatan negara.




