SHAH ALAM, 4 FEB: Kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan seluas 56 ekar di Sungai Kelambu, Banting terbakar, dengan 37 ekar berjaya dipadamkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor setakat ini.
Ketua Zon 5 (KLIA) JBPM Selangor, Mohamad Issmanto Md Pono berkata pihaknya kini sedang berusaha memadamkan baki 19 ekar kawasan hutan berkenaan dalam operasi pemadaman hari kedua, hari ini.
“JBPM Selangor menggunakan kekuatan seramai 38 anggota, termasuk daripada pelbagai agensi iaitu Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).
“Kebakaran masih aktif ketika ini namun tidak menjejaskan penempatan berhampiran serta Loji Rawatan Air (LRA) yang terletak berdekatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pasukan JBPM dan APM menjalankan kerja pemadaman di sekitar jalan utama, manakala JPNS melaksanakan pemadaman menggunakan kaedah telaga tiub atau ‘tube well’.
Terdahulu, Media Selangor melaporkan kawasan hutan seluas kira-kira empat hektar berhampiran Loji Rawatan Air Sungai Kelambu, Banting terbakar pada tengah hari semalam.
Pegawai Operasi JBPM Selangor, Hamdan Hamzah, dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.43 tengah hari sebelum tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dikerahkan ke lokasi kejadian bersama jentera.
Menurut beliau, kerja-kerja pemadaman hanya dapat dimulakan hari ini berikutan kekurangan sumber air serta akses jalan yang terhad ke lokasi kebakaran.


