52 PATI ditahan guna MyKad palsu, milik orang lain untuk kerja di kilang

3 Feb 2026, 12:00 PM

SHAH ALAM, 3 FEB: Seramai 52 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan di sebuah kilang di sini, petang tadi, selepas dikesan menggunakan kad pengenalan (MyKad) palsu serta milik orang lain bagi mendapatkan pekerjaan.

Kebanyakan mereka dikenal pasti sebagai warga Filipina berketurunan Suluk, yang menggunakan MyKad palsu dan milik individu lain untuk bekerja serta menerima gaji, lapor Berita Harian.

Penahanan itu dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu operasi kira-kira jam 2.30 petang.

Seorang lelaki warga asing terbabit yang mendakwa berasal dari Semporna, Sabah, Jabar Abdul, 49, mengaku menggunakan MyKad milik orang lain untuk bekerja di kilang berkenaan.

Menurutnya, gaji dimasukkan ke dalam akaun bank pemilik kad pengenalan tersebut sebelum sebahagian wang diambil dan bakinya diserahkan kepadanya. Dia turut mendakwa dibawa masuk oleh ejen dengan bayaran RM1,000 dan tidak mengetahui butiran berkaitan MyKad yang digunakan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Sarinah Apisah, berkata semua PATI yang ditahan berusia antara 25 hingga 60 tahun dan berasal dari Filipina serta Indonesia.

Beliau berkata kebanyakan mereka memberi alasan menggunakan MyKad milik orang lain kerana diuruskan oleh ejen, termasuk ada yang tidak memegang sebarang kad pengenalan.

Menurutnya, JPN akan menyiasat sama ada wujud unsur sindiket atau kerelaan warga tempatan menyerahkan MyKad kepada warga asing, selain mengesan pemilik sebenar kad pengenalan terbabit.

Sarinah berkata semua yang ditahan dibawa ke JPN Putrajaya untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Beliau menambah, operasi berkenaan turut mendapat kerjasama pihak pengurusan kilang bagi membuat semakan nombor kad pengenalan yang digunakan.