Kes bunuh ibu: Suspek ditahan dalam bas menuju ke Selangor

3 Feb 2026, 4:44 AM
Kes bunuh ibu: Suspek ditahan dalam bas menuju ke Selangor

SHAH ALAM, 3 FEB: Anak lelaki yang disyaki membunuh ibunya di Alor Setar, Kedah ditahan polis malam tadi ketika dalam perjalanan menuju ke Selangor.

Mangsa dikenali sebagai Zahrullail Basir, 52, yang juga eksekutif operasi sebuah bank ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tikaman pada badan di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, berkata suspek berusia 28 tahun ditahan pada jam 8.34 malam oleh sepasukan pegawai dan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Beliau berkata, suspek berusia 28 tahun ditahan kurang 24 jam selepas kejadian ketika menaiki bas persiaran di Kilometer 441.5 arah selatan, Lebuhraya Utara-Selatan.

"Dia ditahan untuk membantu siasatan kes bunuh seorang wanita berusia 52 tahun yang berlaku di sebuah kawasan perumahan di bandar raya ini semalam.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah.

"Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif, " katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Basri berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar dan direman bermula hari ini, hingga 9 Februari depan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nur Shifa Mohd Hamzah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati atau pemenjaraan antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan.

"Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

"Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat palsu atau tidak benar, dan mereka boleh disiasat di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan serta dikenakan hukuman sewajarnya, " katanya.