Negeri serah kepada pihak berkuasa insiden libat penyokong Selangor FC

2 Feb 2026, 11:22 AM
Negeri serah kepada pihak berkuasa insiden libat penyokong Selangor FC
Negeri serah kepada pihak berkuasa insiden libat penyokong Selangor FC

SHAH ALAM, 2 FEB: Kerajaan Selangor kesal dengan tindakan segelintir penyokong Selangor FC yang terlibat dalam insiden di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu, semalam.

EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri memandang serius insiden berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang mencemarkan imej sukan serta nama negeri.

“Kerajaan Selangor kesal dengan sikap dan tindakan tidak bertanggungjawab individu terlibat dalam kejadian malam semalam.

“Kerajaan Negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada Media Selangor.

EXCO Belia Mohd Najwan Halimi bercakap kepada media selepas majlis Apresiasi Penggerak Belia Selangor (PeBS) di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 9 Januari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu berlaku sebelum perlawanan Liga Super antara Terengganu FC dan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata kira-kira 400 individu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi menjalani ujian saringan air kencing.

Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan sekumpulan penyokong Selangor FC berarak sambil membawa bendera pasukan dari arah pusat bandar menuju ke Jambatan Angkat sebelum menyalakan suar di tengah jambatan berkenaan.